Thursday, April 27, 2006

Guru diperiksa

Guru wajib ujian dadah -- Jalani pemeriksaan guna mesin pengimbas mata mulai Mei
KUANTAN 26 April - Semua guru sekolah menengah di seluruh negara diarah menjalani pemeriksaan dadah menggunakan mesin pengimbas mata canggih bermula bulan depan bagi memastikan mereka bebas dadah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, selain para pelajar yang diwajibkan berbuat demikian, guru-guru juga tidak terkecuali menjalani ujian mengesan dadah itu.
``Maaflah, guru juga akan diperiksa (menggunakan mesin pengimbas mata), tetapi mereka tidak perlu risau, kalau tidak buat apa-apa, tidak mengapa,'' katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Pusat Sumber Pendidikan Negeri Peringkat Kebangsaan 2006 di sini malam tadi.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran, Datuk Yusoff Harun dan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib.
Noh menyifatkan pemeriksaan melalui alat pengimbas mata yang akan dilalui oleh guru-guru itu umpama `pemeriksaan mata di kedai cermin mata sahaja.'
Menurutnya, guru-guru perlu menunjukkan contoh yang baik kepada murid sebagai tanda mereka adalah seorang pendidik yang boleh diteladani.
Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu bentuk tindakan yang bakal diambil ke atas golongan guru yang didapati terbabit dalam penagihan dadah.
Awal bulan ini, Noh memberitahu, tiga juta pelajar sekolah menengah akan menjalani pemeriksaan dadah menggunakan alatan baru itu.
Katanya, mesin berkenaan mampu mengesan dadah yang diambil dalam tempoh 24 jam dan hasilnya boleh diketahui dalam tempoh dua minit selepas pemeriksaan mata.
Beliau memberitahu, projek perintis ujian menggunakan mesin tersebut akan dijalankan ke atas pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur bulan depan.
Mesin pengimbas mata tersebut berharga kira-kira RM200,000 dan boleh beroperasi secara bergerak.
- Utusan Malaysia Online
Apa komen anda. Jika anda ada pandangan untuk dikongsi sila klik pada pautan 'comment' di bawah. Terima kasih

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

Nampak gayanya golongan guru sudah dipandang serong oleh sesetengah pihak. Daripada kes dibelasah dengan batang penyapu dan penyodok sampah hinggalah kepada kes wajib jalani ujian dadah, nyatalah golongan guru sekarang sudah dianggap 'haprak'. Dunia, dunia!!

11:46 AM  
Anonymous Anonymous said...

Niat Timbalan Menteri kita tu mungkin baik, tapi kita bimbang niat itu disalah tafsir dan ada orang cuba memanipulasikan isu ini untuk menghentam institusi pelajaran. Bersabar ajelah...

12:11 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home