Wednesday, May 03, 2006

Belajar bukan untuk lulus periksa!

Subjek peperiksaan dikurang
Oleh Abdul Halim Yusoff

Kementerian Pelajaran garis 5 cadangan kembalikan nilai pendidikan dalam RMK-9

KUALA LUMPUR: Jumlah mata pelajaran dalam peperiksaan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikurangkan, manakala hanya subjek tertentu diuji pada peringkat sekolah. Ini adalah antara lima cadangan yang dikemukakan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan sistem pendidikan negara tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.
Empat cadangan lain ialah:
  • Melihat semula sistem penggal dan menggantikannya dengan sistem semester;
  • Mengubah cara menilai pencapaian pelajar dalam pembelajaran sesuai dengan perkembangan dan kehendak dunia, dengan merubah penekanan dalam peperiksaan awam daripada terlalu berasaskan kandungan kepada berasaskan kemahiran atau bersifat ujian pencapaian kepada bersifat kebolehan am;
  • Mencari kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan pembinaan karektor dalam mata pelajaran, seperti Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani; dan
  • Merubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan, maka kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga perlu dirangka.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berharap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan agensi berkaitan bekerjasama mencari kaedah bagi merealisasikan sasaran itu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Kita bukan hendak menghapuskan sama sekali peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM. Peperiksaan berkenaan diperlukan kerana kepentingan pendidikan dan sosialnya. Tetapi penekanan yang berlebihan kepada peperiksaan boleh menyebabkan sistem pendidikan kita dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan dan zaman persekolahan akan kehilangan nilai pendidikan serta nilai kemanusiaannya,” katanya ketika merasmikan sambutan ulang tahun ke-50 LPM di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Ahamad Sipon dan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah.

Hishammuddin berkata, sistem peperiksaan kini mempunyai keterbatasannya berbanding kaedah pentaksiran formatif.

Katanya, pentaksiran untuk pembelajaran sangat sukar atau tidak mungkin dilaksanakan melalui sistem peperiksaan berpusat. Begitu juga bukan mudah untuk mengurangkan bilangan ubjek dalam peperiksaan awam.

Beliau memberi contoh, dalam peperiksaan SPM, sejumlah 104 mata pelajaran ditawarkan dan jadual waktu peperiksaan itu tahun lalu membenarkan calon mengambil sehingga 25 mata pelajaran sehingga ramai calon mengambil 18 subjek.

“Jumlah itu sememangnya terlalu banyak untuk mana-mana peperiksaan awam,” katanya.

Hishammuddin bagaimanapun berkata, guru terlatih diperlukan dalam usaha untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam atau melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah. “Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, semua bentuk pentaksiran yang lebih bersifat alternatif dan tulen seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, kegiatan jasmani, ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan.“Dalam hal ini, guru besar dan pengetua perlu diberi pengiktirafan dan sedikit autonomi untuk mengesahkan laporan yang dikeluarkan sekolah,” katanya. Hishammuddin berkata, sejak dua tahun lalu, anjakan ke arah sistem pendidikan yang kurang berorientasi peperiksaan telah dibuat menerusi dua langkah, iaitu menggunakan pendekatan baru dalam laporan keputusan semua peperiksaan awam dengan hanya melaporkan pencapaian setiap mata pelajaran dan prestasi cemerlang calon.

Langkah kedua ialah menetapkan pembabitan pelajar dalam kokurikulum melalui memorandum kepada jemaah menteri, sebagai salah satu merit bagi kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh, sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah menengah teknik, program matrikulasi dan maktab perguruan.

Beliau juga berkata, Kementerian Pelajaran akan mengumumkan Pelan Tindakan RMK-9 tidak lama lagi, yang berdasarkan dua pendekatan dalam melaksanakan agenda pendidikan negara sepanjang lima tahun akan datang.

Dua pendekatan itu ialah, menyamaratakan medan persaingan di kalangan pelajar dengan memperkasakan sekolah kebangsaan dan mengembangkan sepenuhnya potensi di dalam kelompok kecemerlangan sehingga sekolah berkenaan dapat mengangkat nama negara dan sistem pendidikan negara di mata dunia.

- Berita Harian Online