Pelajar, guru undi lantik pengawas
SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Setiu mencatat sejarahnya tersendiri apabila pemilihan pengawas sekolah itu bagi penggal 2007/2008 dibuat secara undian menerusi sistem pilihan raya yang diadakan di sekolah itu.
Pada pemilihan itu, 150 calon yang disenarai pendek pengurusan sekolah bertanding untuk mengisi 80 tempat sebagai pengawas bagi sesi persekolahan tahun depan.
Pengetuanya, Romeli Ismail, berkata pemilihan pengawas yang dijalankan secara mengundi dalam pilihan raya dilihat sebagai suatu kaedah terbaik, telus dan adil selaras dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.
"Semua 968 pelajar Tingkatan Satu, Dua, Empat dan Enam dan 80 guru mengundi dalam pilihan raya pemilihan pengawas itu termasuk pemilihan Ketua dan Timbalan Ketua Pengawas.
"Pilihan raya itu diawasi Pasukan Kadet Polis sekolah," katanya.
Sementara itu, pelajar yang ditemui turut gembira dengan langkah sekolah mengadakan pilihan raya untuk mengisi jawatan pengawas sekolah berkenaan dan menyifatkan ia sebagai adil dan telus.
Petikan daripada berita harian online
