Sunday, February 25, 2007

Kerajaan timbang tuntutan Cuepacs

DATUK Seri Najib Razak berkata kerajaan sedang menimbang dengan serius tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung kenaikan gaji kakitangan awam, terutama kumpulan rendah kerana mereka mempunyai alasan kukuh. Bagaimanapun kerajaan memerlukan sedikit masa untuk mengkaji tuntutan Cuepacs itu kerana membabitkan pertambahan perbelanjaan mengurus. Memorandum Semakan Gaji Anggota Sektor Awam yang dihantar oleh Cuepacs baru-baru ini menuntut semakan gaji antara lima hingga 40 peratus bagi 1.2 juta kakitangan awam. Tuntutan itu menyatakan kenaikan gaji wajar diberikan kerana kira-kira 600,000 kakitangan sokongan mungkin berada di bawah paras kemiskinan jika kerajaan tidak membuat semakan gaji dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang. Pada 17 Februari lalu, Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, pihaknya akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 6 Mac ini, bagi mengetengahkan lima isu utama berkaitan kakitangan awam. Isu lain selain semakan gaji kakitangan awam kali terakhir dibuat 14 tahun lalu, ialah menambah jumlah kakitangan awam, lanjutan umur bersara, pencen mengikut tempoh perkhidmatan dan pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan. Omar berkata, isu gaji itu penting untuk membela kebajikan pekerja awam supaya mereka lebih bersemangat dan memberi komitmen penuh kepada tugas dan membanteras budaya rasuah kerana melaluinya ia dapat meningkatkan sumber pendapatan.