Saturday, March 24, 2007

Kementerian perkenalkan Sekolah Kluster

Sekolah kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) yang akan diperkenalkan akhir bulan ini, diberi lima kuasa autonomi selaras usaha kerajaan untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan setaraf negara maju. Antara lain sekolah kluster dibenarkan memilih dan mengiklankan calon guru serta kakitangan sokongan tanpa melalui norma perjawatan biasa. Selain itu, pengurusan sekolah boleh menggunakan khidmat dan kepakaran luar dalam bidang yang diperlukan, diberi kelonggaran memilih 10 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar mengikut cara yang difikirkan sesuai serta bebas memilih kursus dan program latihan yang perlu diikuti guru. Kuasa autonomi itu diberi bagi membolehkan pengurusan sekolah kluster melaksanakan langkah yang difikirkan mampu meningkatkan kecemerlangan guru dan pelajar masing-masing. Bagaimanapun, pengurusan sekolah kluster diingatkan bahawa kementerian akan menentukan Indeks Prestasi Utama (KPI) serta indikator pencapaian yang perlu dicapai dalam masa yang dipersetujui. Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mempengerusikan mesyuarat Kluster Kecemerlangan serta menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad dan sembilan ahli lembaga lain. Kuasa autonomi sekolah kluster diputuskan melalui resolusi Bengkel Autonomi Sekolah Kluster yang disertai 300 pengetua, guru besar, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni serta pihak berkepentingan. Pelaksanaan sekolah kluster yang merujuk sekolah cemerlang dari aspek pengurusan serta kemenjadian murid adalah antara enam teras utama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Hishammuddin berkata, 30 sekolah kluster pertama akan diumumkan akhir bulan ini dan kelompok itu akan dijadikan penanda aras kepada sekolah lain yang berminat dikategorikan sebagai KSC. Katanya, sekolah kluster berkenaan mencakupi semua jenis sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah pendidikan khas, vokasional dan swasta. “Saya beri jaminan kita melihat pelbagai aliran di sekolah sebagai kekuatan... sama ada aliran agama, vokasional, semuanya saya harap dapat diketengahkan tetapi dengan penanda aras yang berbeza. Sekolah kluster aliran Cina misalnya, diharap mampu bersaing dengan sekolah sama di Beijing, China, atau sekolah aliran agama mesti setanding institusi sama di Mesir,” katanya sambil memberi jaminan agenda sekolah lain tidak akan dilupakan. Hishammuddin berkata, pemimpin sekolah kluster akan dikekalkan di sekolah masing-masing untuk sekurang-kurangnya lima tahun dan pencapaian mereka sepanjang tempoh itu akan dinilai. “Dalam konteks ini, mereka perlu memastikan pencapaian dan prestasi sekolah sentiasa meningkat dan terus cemerlang,” katanya. Pengetua yang gagal mencapai matlamat yang ditetapkan boleh ditukarkan ke sekolah lain dan status sekolah kluster berkenaan akan dilucutkan. Mengenai barisan ahli Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Hishammuddin berkata, semua anggotanya memiliki pengalaman luas dan kecintaan terhadap dunia pendidikan. “Semua tokoh itu memiliki niat ikhlas untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan terbaik dan mereka berfikir di luar polemik normal serta melihat bidang pendidikan adalah kritikal dalam pembangunan negara,” katanya. Katanya Lembaga Penasihat itu juga akan bertindak sebagai penasihat dalam mengatur strategi berkesan yang relevan untuk kecemerlangan sekolah kluster pada masa akan datang.
Sumber - Berita Harian Online 24 Mac 2007

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home