Tuesday, June 05, 2007

Penilaian Tahap Kecekapan tak dimansuh

Sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dilaksanakan sejak 2003 bagi tujuan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam, tidak akan dimansuhkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.
Beliau berkata, jabatan dan badan berkanun bagaimanapun diberi kelonggaran merangka sistem penilaian untuk mengukur tahap kecekapan kakitangan masing-masing. "Kakitangan kerajaan perlu dinilai prestasi masing-masing. Bagaimana hendak tahu sama ada kakitangan sudah melakukan tugas? Mereka perlu diberi penilaian," katanya.
Beliau mengulas tuntutan Cuepacs supaya kerajaan memansuhkan PTK kerana berpendapat peperiksaan itu tidak mencerminkan tahap kecekapan sebenar kakitangan awam.
Ismail berkata, ketika perbincangan pada 2001 bagi memperkenalkan PTK, semua pihak termasuk Cuepacs bersetuju supaya tahap kecekapan anggota perkhidmatan awam dinilai sebelum diberi kenaikan pangkat. “Kita tidak harus menimbulkan kekeliruan mengenai peperiksaan ini dan idea di sebalik sistem itu. Kita sentiasa boleh ubah suai peperiksaan ini tetapi bukan idea itu, yang sudah pun dilaksanakan. “Jika peperiksaan tidak sesuai, maka wujudkan sesuatu yang lain bagi menilai prestasi kakitangan. PTK hanyalah sistem penilaian dan bagaimana ia harus dijalankan terpulang kepada pertubuhan atau jabatan berkenaan,” katanya.
Ismail memberi contoh, kakitangan di Pejabat Akauntan Negara tidak perlu menduduki PTK untuk kenaikan pangkat, tetapi perlu menduduki ujian profesional.
“Agensi seperti Bernama atau RTM juga boleh mengadakan sistem penilaian yang dianggap sesuai untuk pegawai mendapat kenaikan pangkat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, peperiksaan sebagai kaedah PTK masih diguna pakai kebanyakan jabatan kerajaan.
"Rekod kita menunjukkan 70 peratus kakitangan yang menduduki peperiksaan itu lulus. Soal senang atau sukar bergantung kepada persiapan dan ia amat relatif," katanya.
-Berita Harian Online