‘Halang ibu bapa ganggu hukuman’
Tokoh pendidikan sokong kembalikan kuasa guru
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran disaran menggubal peraturan menghalang ibu bapa campur tangan jika guru mengambil tindakan disiplin terhadap anak mereka di sekolah.
Tokoh akademik, Prof Emiritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata sudah tiba masa peraturan itu diwujudkan kerana kebelakangan ini semakin ramai ibu bapa cenderung ‘mengganggu’ tindakan disiplin dikenakan guru terhadap pelajar, walaupun ia bertujuan mendidik. “Sekarang ibu bapa tidak mahu mengaku anak mereka nakal, sebaliknya melemparkan pelbagai tuduhan kepada guru yang menghukum anak mereka, malah ada yang datang bersemuka dengan guru. “Jadi campur tangan ibu bapa dalam urusan disiplin pelajar perlu dihalang dan perkara ini hanya boleh dibuat dengan berkesan jika ada undang-undang. “Bagaimanapun, ini bukan bermakna ibu bapa tidak boleh berbuat apa-apa langsung, jika guru bertindak di luar batas, keterlaluan, berunsur penderaan atau jenayah, ibu bapa boleh bertindak mengikut saluran betul termasuk membuat laporan polis,” katanya. Beliau mengulas laporan khas akhbar bahawa Kementerian Pelajaran mengkaji kemungkinan mengembalikan kuasa guru dalam mendisiplinkan pelajar, termasuk merotan di khalayak ramai bagi memastikan pendidik dapat menjalankan tanggungjawab itu dengan lebih tegas dan berkesan. Khoo berkata, kerajaan perlu meyakinkan rakyat peraturan itu bukan bermakna kuasa pada sekolah boleh digunakan sewenang-wenangnya tetapi bagi mengawal masalah disiplin di sekolah yang kini semakin teruk. Sementara itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Mohamad Ali Hassan, berkata peraturan seumpama itu dapat mengelak guru menjadi mangsa kecaman membuta tuli ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap tindakan disiplin terhadap anak mereka. “Adalah baik ibu bapa dilarang sama sekali daripada bertindak bersendirian dan ‘menyerang’ guru yang menghukum anak mereka tanpa usul periksa,” katanya. Mohamad Ali berkata, cadangan mengembalikan semula kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan pelajar dialu-alukan kerana hakikatnya semua guru adalah guru disiplin. Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Salleh Mohd Husein dalam kenyataannya, berkata pihaknya menyokong usaha mengembalikan kuasa itu kepada guru kerana profesion berkenaan turut berfungsi mendidik pelajar menjadi manusia berguna dan modal insan berperibadi unggul. Katanya, YGBM berpendapat kajian perlu dibuat bagi memperincikan prosedur dan tatacara kaedah mendisiplinkan pelajar kerana tindakan ini akan membantu serta menyokong guru melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Presiden Persatuan Penyelidikan Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Ahmad Ibrahim Bajunid bagaimanapun berkata, memadai kuasa mendisiplinkan murid diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru disiplin saja bagi mengelak timbul banyak isu.

