Saturday, July 28, 2007

Cikgu Wee dilamar sekolah swasta di Miri

Belum reda kontroversi tindakan menghukum 200 pelajar di Sekolah Menengah Bawang Assan, Sibu, berendam dalam kolam minggu lalu, warden terbabit, Wee Yim Ping, kini dilamar sebuah sekolah swasta yang beroperasi di Miri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sekolah Menengah Riam Road (RRSS), Datuk Dr. Fong Onn Ming berkata, sekolah berkenaan bersedia menawarkan tempat kepada Yim Ping jika khidmat beliau tidak diperlukan di sekolah tersebut.
“Jika mereka tidak mahu khidmat beliau (Yim Pin), kita alu-alukan perkhidmatan beliau di sini.
“Kita sedia tawarkan gaji seperti yang dibayar oleh kerajaan kepada beliau ketika ini,” katanya semasa diminta mengulas kontroversi yang membabitkan warden yang juga guru Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
Secara peribadi, Fong Ming menyifatkan tindakan guru tersebut adalah sebagai usaha untuk membentuk disiplin pelajar yang tidak serik melakukan kesalahan sama.
“Tindakan beliau tidak salah, tiada apa yang salah sebab beliau mahu mendisiplinkan pelajar yang terbukti sudah melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Yim Ping bukan guru yang berdedikasi dan komited terhadap tanggungjawab, warden tersebut boleh membiarkan sahaja kejadian itu berterusan tanpa perlu menyedarkan pelajar dengan menghukum mereka.
“Kalau dia (Yim Ping) mahu, dia boleh tutup sebelah mata sahaja apabila ada kes seperti itu (pelajar buang tuala wanita).
“Tetapi dia bukan jenis guru yang mengabaikan tanggungjawab, maka dia denda pelajar dengan hasrat mereka tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, RRSS memerlukan guru berwibawa seperti Yim Ping dalam memacu usaha melahirkan modal insan seperti termaktub dalam agenda pembangunan negara.
Beliau turut berharap, Yim Ping akan kuatkan semangat dalam menghadapi cemuhan masyarakat yang mengecam tindakannya baru-baru ini.
-Utusan Malaysia Online

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home